Sunday 7 January 2018

Bila Pak Lebai (PAN) mula berhujah macam golongan liberal dalam isu hudud


BUDAYA popular yang digunakan oleh pihak yang mahu menolak perlaksanaan syariat Islam di Malaysia adalah dengan menggunakan hujah Maqasid Syariat. Bagi kumpulan ini, setiap bentuk syariat mestilah bermatlamatkan mendatangkan maslahah (kebaikan) kepada manusia. Sekiranya maslahah boleh dicapai tanpa menjalankan syariat, maka tidak perlu lagi melakukan syariat tersebut.

Contohnya dalam isu syariat menutup aurat. Matlamat menutup aurat ialah mengekang hawa nafsu. Sekiranya orang tidak lagi bernafsu apabila melihat aurat, maka tidak perlu lagi menutup aurat. Maka tidak hairanlah golongan yang bercakap isu maqasid syariat ini seperti Sister in Islam, auratnya ke laut.


Dusta Terhadap Umar
Antara hujah utama yang digunakan adalah mendakwa Saidina Umar mendahulukan maslahah dari syariat yang terdapat dari nas al-Quran, kononnya kerana beliau menggunakan kaedah Maqasid. Pemikiran ini sebenarnya bukanlah perkara baru, sebaliknya ia telah ditimbulkan lebih awal oleh para orientalis untuk menjauhkan pemikiran umat Islam dari Islam yang sebenar. Ia hanya diulang-ulang supaya umat Islam terus keliru dan jauh dari Islam sebenar.

Antara penulisan yang menyebutkan perkara ini adalah buku bertajuk (المصلحة في التشريع الإسلامي) karangan Dr Mustafa Zaid. Juga buku (أصول التشريع الإسلامي) karya Prof Ali Hasbullah dan buku (فجر الإسلام) tulisan Ahmad Amin. Ini termasuklah buku Maqasid Syariah oleh Dr Jasser Auda yang kini sangat diagung oleh PAN.

Banyak contoh yang diberikan dalam pentadbiran Saidina Umar, tetapi yang selalu diulang-ulang sehingga kini adalah mengenai kes tidak memotong tangan pencuri di zamannya ketika berlaku tahun kemarau. Hujahnya kerana matlamat mencuri pada waktu itu untuk menjaga nyawa bimbang mati kebuluran, sedangkan matlamat potong tangan adalah untuk menjaga harta. Maka mengikut konsep maqasid dalam bab dhoruriyat al-khams, menjaga nyawa didahulukan daripada menjaga harta.

Menurut Jasser Audah, menjalankan hukum tersebut pada waktu itu tidak bertepatan dengan maqasid hukuman Islam iaitu keadilan. Dengan kata lain, hukuman Islam ini tidaklah adil sepanjang zaman.

Perkara ini telah dijawab oleh as-Syahid Dr Ramadhan al-Buthi lewat tesis PhD beliau bertajuk (ضوابط المصلحة). Menurut Dr al-Buthi, Saidina Umar merupakan tokoh yang sangat terkenal dengan ketegasannya berpegang kepada nas. Beliau hanya menggunakan ijtihad akal dalam perkara yang tidak ada nas. Bahkan sekiranya terjumpa nas setelah ijtihad dikeluarkan, beliau akan serta merta menarik ijtihad dan berfatwa mengikut nas.

Contohnya dalam isu diyat. Saidina Umar berfatwa bahawa isteri tidak mewarisi diyat suaminya. Tetapi setelah diberitahu oleh ad-Dhohhak bin Sufyan bahawa Nabi pernah mengarahkan diyat Usyaim ad-Dhobabiy diwarisi oleh isterinya, maka Umar menarik balik fatwanya.

Hanya dengan satu hadis ahad, Saidina Umar menarik balik fatwanya yang dibina atas dasar maslahah. Maka adakah logik orang seperti itu mahu mendahului nas al-Quran yang qat`iy?

Menjawab Kekeliruan
Antara jawapan kepada keraguan orientalis dalam isu pencuri di atas, sebenarnya saidina Umar tidak menghukum orang mencuri bukan kerana mendahulukan maslahah, sebaliknya kerana memahami dengan mendalam perintah dari ayat al-Quran. Ayat yang menyebut tentang arahan melaksanakan hukuman potong tangan adalah:

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّـهِ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
[Al-Maidah:38]

Saidina Umar faham apakah definisi sariqah (pencuri) di dalam ayat di atas. Secara ringkasnya pencuri ialah mereka yang mengambil hak orang lain secara sembunyi tanpa izin. Kalau ambil dengan izin tak dipanggil pencuri. Kalau diambil secara terang juga bukan dipanggil pencuri. Ambil hak sendiri lagilah bukan kategori mencuri.

Dalam situasi hari kemarau, wajib bagi orang-orang kaya yang mempunyai lebihan makanan untuk berkongsi dengan golongan miskin yang kebuluran. Ada orang kaya yang tidak membayar zakat pada tahun itu. Jadi pada harta orang kaya itu, terdapat hak orang miskin yang wajib ditunaikan.

Oleh itu apabila si miskin mencuri, kemungkinan ia mencuri harta dia sendiri yang tidak ditunaikan oleh si kaya!

Bila timbul keraguan pada status hak harta tersebut, maka ia kembali kepada hadis Nabi SAW:

ادرؤوا الحدود بالشبهات

Tertolak hudud dengan keraguan-keraguan.

Namun ia bukanlah bermakna Islam membenarkan orang miskin mencuri sewenang-wenangnya. Cuma hukuman potong tangan sahaja gugur. Mereka tetap boleh didakwa, cuma akan diadili di mahkamah berdasarkan situasi masing-masing. Faktor kemiskinan akan diambilkira.

Dalam situasi yang sama, di zaman Umar sekiranya pencuri itu adalah orang kaya yang tidak kebuluran, mereka tetap akan dikenakan hudud. Ini menunjukkan bahawa undang-undang hudud tetap ada di zaman itu. Cuma dalam kes-kes tertentu hukuman tersebut tidak cukup syarat untuk dilaksanakan. Bukan undang-undang itu langsung tidak ada.

Pas dan Nas
Apa yang saidina Umar lakukan tepat sebagaimana kehendak syarak. Dan apa yang cuba diperjuangkan oleh PAS juga (bukan isu RUU355) juga selari dengan pegangan saidina Umar. Maknanya undang-undang Islam perlu diwujudkan, tetapi dari kaedah perlaksanaan kepada undang-undang itu, ia perlu melihat kepada satu persatu kes. Perlu dibezakan antara taqnin (penggubalan undang-undang) dan tatbiq (perlaksanaan undang-undang).

Premis yang menyatakan undang-undang syariat tidak kondusif di zaman ini kerana ramai rakyat miskin sebenarnya secara tidak langsung telah menghina golongan miskin. Seolah-olah semua yang miskin itu jahat dan pencuri. Sebaliknya sekiranya kita melihat kepada fakta-fakta kes kecurian, kebanyakannya pencuri bukan golongan miskin. Orang miskin lebih bermaruah dan berintegriti daripada pencuri yang ada hari ini.

Tambahan pula dalam isu menghukum pencuri miskin, usahkan potong tangan, mengenakan hukuman konvensional hari ini pun sudah tidak patut. Kerana terdesak mencuri setin susu anak di pasaraya, seorang lelaki dihukum sehingga dua tahun (sama hukuman dengan kes seorang ahli politik menyeleweng jutaan ringgit)! Siapa mahu menanggung keluarganya selama dua tahun itu?!

Penyelesaian Islam jauh lebih rasional dari kes di atas. Islam tidak terhad sekadar hudud. Hudud hanya sebahagian dari hukuman syarak yang besar, walau bagaimanapun ia tetap wajib diwujudkan berdasarkan nas yang jelas.

Malangnya kisah saidina Umar diputarbelit untuk menjadi hujah menolak implementasi syariah Islam di zaman ini. Mengambil kira isu kondusiviti dan sebagainya. Sehingga lupa isu sebenar yang diketengahkan adalah kewajipan mewujudkan undang-undang tersebut, bukan kewajipan memotong tangan setiap pencuri sebagaimana kumpulan ekstremis di luar sana.

Sebenarnya tujuan ulama meletakkan ilmu maqasid ini adalah untuk membantu perlaksanaan syariat. Tetapi pihak tidak bertanggungjawab in berusaha menolak syariat Islam melalui hujah maqasid. Itu tidak boleh dipanggil maqasid syariat, tetapi lebih sesuai digelar maqasid syaitan (pinjam ayat Dr Faisal).

Maqasid adalah ilmu takmiliy, iaitu ilmu untuk menyempurnakan ilmu-ilmu syariat yang lain. Kalau ilmu syariat pun masih tunggang langgang, bagaimana nak faham maqasid dengan betul? Tetapi pihak tidak bertanggungjawab ini menjadikan ia ilmu doruri, iaitu ilmu asas yang perlu ada pada setiap orang awam.

Harap kita berhati-hati dengan pihak sebegini. Fahamilah agama mengikut metodologinya yang sebenar.

ALANG IBN SHUKRIMUN
HARAKAHDAILY



GS - Yang pelik semasa Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih hidup merekalah yang memperjuangkan Hudud dengan hujah yang sangat bernas dan bersungguh. Tapi bila TGN tak ada mereka bertukar topeng jadi liberal dan berhujah semacam "SISTER IN ISLAM"

Sila layari : https://gagasansejahtera.blogspot.my/

No comments:

Post a Comment

Blog Archive